Saturday 4 April 2015

GERGASI YANG TERSUNGKUR: NOKIA (Bahagian 1)



Nokia, siapa yang tak kenal pada jenama ini, jika anda lahir dalam dekad 80an, setidak-tidaknya telefon Nokia pernah menjadi teman sejati anda. Telefon bimbit pertama saya adalah Nokia 3310 yang pada waktu itu sangat elegan dan boleh diharap. Nokia, bagaimana ianya muncul sebagai gergasi pembuat telefon bimbit terbesar di dunia, impak teknologinya keatas masyarakat dan kejatuhannya akan saya huraikan dalam 4 bahagian utama.

Finland: permulaan yang mengkagumkan

Fredrik Idestam, Pengasas Nokia


Semua tahu bahawa Nokia berasal dari negara Finland namun Nokia yang kita ketahui selama ini bukanlah syarikat berorentasikan telefon selular semata. Nokia bermula sebagai syarikat pemproses pulpa kayu yang diasaskan oleh Frederik Idestam dalam tahun 1865. Finland pada waktu sebelum perang dunia kedua telah melalui satu tahap kepesatan ekonomi yang mengkagumkan. Selain Nokia AB, beberapa syarikat lain seperti Finnish Rubber, Finnish Electric dan Finnish cable works adalah antara kalangan syarikat yang berdaya saing selain daripada Nokia. “Fast Forward” ke tahun 1967 dimana ketiga-tiga konglomerat terbesar yang dimiliki bersama pengasasnya Idestam dan Leo Mechelin ini digabungkan menjadi NOKIA Corporation. Tapi dalam pada zaman ini, Nokia belum lagi memfokuskan kearah teknologi komunikasi. Nokia pada zaman ini mempunyai banyak cabang perniagaan, bilamana ianya juga terkenal sebagai jenama tayar kereta di Finland pada masa tersebut.



Bagaimana Nokia terjerumus ke NOKIA.

Landskap geopolitik dan sosial dunia pada tahun tahun 1960 banyak tertuju kearah konflik perang dingin antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet. Kedua buah kuasa besar dunia ini masing-masing berlumba dalam teknologi ketenteraan dan areoangkasa serta senjata Nuklear. Rantau Scandinavia khususnya Finland merasakan kedudukan mereka amat menyedihkan jika kedua-dua kuasa besar tersebut bertempur. Walaupun ada NATO, Finland tetap merasakan mereka perlu membuat sesuatu untuk setidak-tidaknya melindungi diri mereka jika kuasa besar tadi mula bertempur. Finland sudahlah negara kecil, penduduk tak seramai kesatuan Soviet apa yang mereka boleh capai dengan membangunkan kuasa ketenteraan? Sedar akan hakikat yang menyedihkan ini mendorong pemerintah Finland berfikir sejenak untuk membangunkan perhubungan telekomunikasi yang begitu daif dan bercelaru pada waktu itu. Finland sedar bahawa komunikasi memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan mesej apabila terjadinya konflik dan siapa yang mendapat tender untuk memajukan sistem telekomunikasi itu? NOKIA lah.




Selamat datang Telekomunikasi

Komunikasi menggunakan telefon pada dekad 60an bukanlah sesuatu yang menyeronokkan bilamana mendail telefon tak semudah kita mengorek tahi hidung. Komunikasi pada waktu itu melibatkan sejumlah tenaga manusia, masa menunggu dan beberapa tona-tona dail barulah kita akan dapat bercakap dengan si buah hati yang berada di hujung talian sana. Ini kerana komunikasi pada masa itu adalah bersifat analog. Nokia mula membangunkan stesen siaran dan “repeater” di serata Finland bagi menyokong sebaran radio telekomunikasi tanpa wayar ini.

Dekad 60an sehingga ke awal 80an menyaksikan hanya Nokia terkontang-kanting dalam arena pembangunan peralatan telekomunikasi, kebanyakkan negara-negara Eropah tak mengambil kisah akan kepayahan Nokia kerana mereka juga ingin membangunkan sistem telekomunikasi mereka sendiri seperti SIEMENS yang berpusat di Jerman, SIEMENS ini pun pada dekad awal 80an boleh tahan juga kemajuannya. OK, Amerika Syarikat pula masih terkebelakang dalam bidang telekomunikasi ini kerana kedua-dua konglomerat terbesar iaitu Bell Telephone dan Motorola masing-masing berbalah dan melobi pihak kongres untuk menujukkan taring siapa yang kuat. Akibat daripada persaingan ini menyebabkan Amerika di tinggalkan jauh ke belakang apabila piawai GSM (Global System of Mobile Communication) diperkenalkan oleh geng-geng Eropah dalam tahun 1987.


Nokia sebelum tertubuhnya GSM amat bergantung kepada network analog mereka yang dibangunkan pada era perang dingin. Sistem ini sangat primitif kerana signal yang diterima amat mengharukan, telefon perlu mempunyai antenna yang panjang dan gangguan statik seringkali berlaku. Namun disebalik masalah ini Nokia Berjaya menghasilkan barisan jenama telefon mobil seperti telefon kereta Nokia Talkman dan  Nokia Mobira Cityman yang sangat popular sehinggakan Soviet Premier, Encik Mikhail Gorbachev menayang dengan set Mobila Cityman tersebut. Wow...

Geng Eropah membentuk GSM


Menyedari akan hakikat bahawa negara-negara perlu mengadaptasi satu piawai yang serata berkenaan dengan bentuk penyampaian telekomunikasi tanpa wayar ini, negara negara Eropah mula membentuk satu pakatan yang dinamakan Pakatan Rakyat. Oh bukan pakatan itu ya! Kali ini bukan Finland yang menjayakannya tapi la beaucoup le France, ya Perancis yang mula sedar akan hakikat ini kerana di Perancis ada kumpulan rock band iaitu  European Conference of Postal and Telecommunications Administrations (CEPT) yang mula mempiawaikan sistem komunikasi tanpa wayar. Apa mereka lakukan? Pertamanya mereka menubuhkan “Groupe Spécial Mobile committee” dalam bahasa englishnya “Kumpulan Jawatankuasa teristimewa berkenaan telekomunikasi tanpa wayar” sangat panjang nama itu bukan? OK, kumpulan ini mula mengkaji dan menetapkan piawai standard tentang bagaimana sistem telekomunikasi ini harus diadakan, melalui pelbagai perbincangan meja buLat, konferensi, ceramah dan mesyuarat akhirnya geng-geng negara Eropah yang kuat seperti Jerman, Britain dan Perancis mula berminat tentang idea ini. Tidak sempat setahun pun berlalu iaitu dalam tahun 1987 hampir semua negara Eropah mentandatangani perjanjian persefahaman untuk menjadikan GSM satu sistem yang standard.

Harri Koleri membuat panggilan pertama menggunakan Sistem GSM 


Panggilan telefon pertama menggunakan GSM ini dilaksanakan pada 1 julai 1991 di Finland antara Bandar Helsinki dan Tempere (berdekatan dengan sungai Nokia). Jangan silap panggilan ini dibuat melalui telefon kereta (Car Phone) dan bukkannya daripada Nokia 3310 yang tahan lasak itu. Pada dekad 90an inilah kita akan saksikan bagaimana Nokia membentuk pasaran telefon bimbit diserata dunia sehinggakan geng Amerika Syarikat yang digawangi oleh Motorola terpaksa tunduk kepada Nokia.  Itu semua akan disingkap dalam Bahagian kedua artikel ini. 

No comments:

Post a Comment